BN cabar S'gor serah draf pindaan perlembagaan

BN Selangor mencabar kerajaan negeri menyerahkan kepadanya draf cadangan pindaan undang-undang tubuh negeri yang mahu dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 Januari ini.

azlan"Kita nak tengok draf (cadangan pindaan) dulu. Kalau berani berilah draf itu (kepada kami)," kata ketua pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman

"Lepas itu baru kita buat keputusan nak pergi atau tidak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

DUN Selangor akan bersidang pada tarikh tersebut untuk meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kepada negeri dan sultan, kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.

Isu berkenaan tercetus ekoran bantahan kerajaan Selangor terhadap pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru.

Speaker DUN S'gor hari ini, Datuk Teng Chang Khim telah mengarahkan setiausaha DUN supaya memaklumkan perkara itu kepada semua ADUN Selangor.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi di mana Pakatan Rakyat mempunyai 35 kerusi dan BN pula mewakili 21 kerusi.

Kerajaan negeri memerlukan 37 daripada 56 kerusi itu untuk mendapatkan undi majoriti dua pertiga bagi meluluskan cadangan pindaan tersebut.

ADUN Pakatan terdiri daripada 14 dari PKR, 13 (DAP) dan 8 (PAS). BN pula mempunyai 21 ADUN - 19 Umno dan dua dari MCA. DUN Selangor juga mempunyai seorang ADUN Bebas.

Satim yang juga ADUN Seri Serdang berkata, BN akan mengadakan mesyuarat khas untuk mendapatkan pandangan daripada ADUN BN berhubung perkara itu.

Mengulas mengenai cadangan pindaan itu, beliau berkata: "Apa yang ada sekarang sudah sudah elok...sejak tahun 1959 sampai sekarang tak ada masalah.

"Jadi kita mendapat kebaikan yang betul-betul (daripada cadangan pindaan itu). Jadi keburukannya lebih daripada kebaikan," tambah Satim yang ketua Umno bahagian Puchong.

Sementara itu, ketua penerangan BN Selangor Abdul Shukor Idrus pula berkata undang-undang sedia ada sememangnya merupakan peruntukan terbaik dalam memelihara kuasa sultan berhubung isu tersebut.

Beliau yang juga ADUN Kuang berkata, pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK sememangnya dibuat dengan restu Sultan Selangor

"Jadi kita perlu tengok apakah yang dia hendak buat ini lebih baik daripada sedia ada," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.


View the original article here