Polis tolak unsur jenayah dalam kematian pramugari MAS

Polis Belanda menolak kemungkinan wujud unsur jenayah dalam kematian pramugari Malaysia Airlines (MAS) Chin Swee Len di tempat letak kereta di Radisson Hotel, Amsterdam pagi Jumaat lepas.

Jurucakap Wisma Putra berkata hari ini polis negara itu memberitahu pihak kementerian bahawa buat masa ini belum ada maklumat lanjut berhubung kematian Chin.

Mayat Chin, 34, ditemui pada kira-kira jam 9 pagi hari tersebut oleh tetamu hotel, tempat beliau menginap.

Chin dijadualkan berlepas dari Amsterdam ke Malaysia dengan penerbangan MAS MH17 pada hari yang sama iaitu 14 Januari.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklum balas dari polis Amsterdam berhubung kes tersebut, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail.

Bercakap kepada pemberita semasa melancarkan kempen balik kampung rumah selamat di USJ Summit di sini, beliau berkata pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama dengan polis Amesterdam bagi menyelesaikan kes tersebut.

Sementara itu, Pengarah Operasi MAS Kapten Azharuddin Osman dalam satu kenyataan berkata, MAS kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Amsterdam yang sedang menyiasat untuk menentukan sebab-sebab kematian Chin.

Azharuddin berkata pihak MAS sedih dengan berita kematian Chin secara mengejut itu.

Kehilangan beliau disedari bila beliau gagal melaporkan diri untuk taklimat pra-penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

"Perhatian utama kami sekarang ialah membantu keluarga berkenaan sedapat mungkin. Mereka telah diberitahu dan persiapan dibuat hingga membolehkan anggota kedua-dua keluarga diterbangkan ke Amsterdam malam tadi," kata beliau.

Beliau berkata Chin menyertai MAS pada 1997 dan rekod perkhidmatannya sepanjang masa adalah cemerlang.

"Chin disifatkan oleh rakan sebagai cukup berdisiplin, mesra dan peramah. Beliau meninggalkan suami dan seorang anak ," kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah menasihatkan pramugara dan pramugari semasa di luar negara, berjalan secara berkumpulan dan tidak bersendirian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Chin.

- Bernama


View the original article here