Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata pihaknya telah menghantar kertas siasatan ke pejabat Pendakwa Raya petang semalam untuk tindakan lanjut.
"Keputusan sama ada yang akan didakwa atau sebagainya bergantung kepada pertimbangan mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian itu, Hairul Nizam Baharin, 37, mendakwa ditumbuk lelaki yang memakai ves polis bantuan semasa beliau menjalankan tugas mengambil gambar di persekitaran terminal itu pada 11.30 pagi.
Zulkifli berkata setakat ini hanya seorang sahaja anggota polis bantuan yang disiasat memandangkan anggota yang lain adalah saksi kejadian.
Kes itu disiasat mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Terkejut siasatan selesai
Ketika dihubungi Malaysiakini petang tadi, Hairul Nizam berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan bahawa ketua polis KL menganggap siasatan kesnya telah selesai dan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan susulan.
Katanya, beliau baru sahaja meninggalkan ibu pejabat polis daerah Cheras pada jam 5.30 petang tadi selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Abdul Malik Hasim.
"Saya tidak tahu apa yang CPO kata... malah, IO masih menyiasat kejadian kerana mereka mahu penjelasan berhubung beberapa perkara. Tetapi, tidak, saya tidak tahu kes saya telah diserahkan ke DPP, kata Hairul Nizam.
Menurut jurugambar itu, beliau masih berang dengan kejadian berkenaan dan berpendapat tidak ada sesiapun seharusnya dilayan sebegitu rupa, khususnya daripada anggota yang berpakaian seragam.
"Saya akan serahkan kepada DPP untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.